TIDAK ramai pelakon yang mampu berlakon sehingga filem mereka yang ke-100 apatah lagi jika semua filemnya membabitkan watak aksi dan pertempuran.
Jackie Chan adalah pelakon Asia pertama yang berjaya menjadikan filem lakonan terbarunya, 1911, sebagai penanda usia Jackie bergelar pelakon.
Filem 1911 ini juga sekali gus menandakan dia sudah lebih 40 tahun bergiat dalam dunia seni selepas mula-mula berlakon dalam filem Big and Little Wong Tin Bar pada 1962.
Filem ke-100 ini adalah satu filem yang menarik buat Jackie kerana dia bukan hanya memainkan watak utama dalam filem bercorak sejarah itu, tetapi juga bertindak selaku pengarah bersama Zhang Li.
Dihasilkan juga sebagai detik peringatan ke-100 terhadap Revolusi Xinhai, Jackie memegang watak sebagai pemimpin revolusi, Huang Xing. Ia terjadi ketika zaman pembentukan Republik China di bawah pimpinan Dr Sun Yat Sen yang menggulingkan kerajaan Dinasti Qing.

“Saya harap apabila penonton melihat filem ini, mereka akan melupai Jackie Chan dan mengingati Huang Xing dan usaha yang dia bersama rakan-rakanya lakukan ketika revolusi itu kebaikan Republik China.
“Sebagai kepuasan untuk penonton, saya berbincang dengan Zhang Li untuk menambah tiga minit lagi untuk babak saya berlawan dengan pembunuh upahan,” katanya dalam satu media.
Pelakon filem Hollywood seperti Rush Hour dan Shanghai Noon ini turut berkata, walaupun 1911 bukan filem berbentuk aksi seperti mana yang lain, dia tetap menyuntik elemen lasak bersesuaian dengan imejnya selama ini.
 Bintang yang sudah berusia 57 tahun itu ternyata masih punyai tenaga untuk melakonkan watak lasak sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri. Dulu ketika melakonkan watak seumpama itu menerusi filem Armour of God di Yugoslavia pada 1987, Jackie sanggup melompat dari sebuah dinding istana untuk ke dahan sebatang pokok namun dia terjatuh sehingga mengakibatkan keretakan pada tengkorak kepalanya.
Cebisan tengkorak itu tertusuk ke dalam otak–nya dan darah keluar dari telinganya. Jackie nyata bernasib baik kerana pakar perubatan dengan pantas menyelamatkannya daripada menemui ajal. Sehingga kini masih ada lubang kecil pada tengkorak kepalanya itu.

Bercakap mengenai 1911, ia berlatarbelakang–kan China sedang mengalami krisis.
Ramai penduduk yang berperang sesama sendiri, kebuluran melanda dan banyak tragedi berlaku. Ramai pihak mahukan reformasi baru dalam politik.
Pada ketika itu, Dinasti Qing diperintah seorang raja yang hanya berusia tujuh tahun bersama ibu tirinya yang kejam, Maharani Dowager Longyu. Aura mereka sukar digugat kerana punya imuniti kuat selepas Dinasti Qing berjaya memerintah China lebih 250 tahun.

Bermula dengan penduduk kelas bawahan, revolusi tercetus dan mereka memerlukan senjata yang lebih moden bagi berjuang namun tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membelinya. Terdesak untuk mendapatkan senjata itu, pemimpin revolusi menggadaikan apa saja yang mereka ada.
Huang Xing pula balik ke China selepas beberapa tahun berada di Jepun dan berjaya mempelajari seni peperangan moden. Apabila mengetahui keadaan negaranya kucar-kacir, dia merasakan perlu berbuat sesuatu untuk mengembalikan ketenteraman negara itu. 

Dia juga perlu berperang dengan pemerintah Dinasti Qing dan juga bala tentera yang dibentuk oleh Maharani. 

Apakah yang terjadi seterusnya? 

wiki